Friday 21 October 2011

DOMAIN KOGNIFIF DAN AFEKTIF


1.4  DOMAIN KOGNITIF
Bertolak dari definisi KB yang telah ditegaskan oleh penulis yang menyatakan bahawa KB adalah berkait rapat dengan kebolehan seseorang insan menggunakan kedua-dua domain kognitif dan afektif dalam usaha untuk mendapatkan atau memberikan informasi, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Dalam lain perkataan, KB adalah kemahiran seseorang menggunakan otak (domain kognitif/aqal) dan hati (domain afektif/qalbu) sebagai landasan kepada keyakinan (belief) atau tindakan (actions). Dari definisi tersebut dapatlah difahamkan bahawa domain kognitif adalah kebolehan berfikir berlandaskan kebolehan menggunakan otak. Bloom mengkategorikan domain kognitif kepada enam aras. Aras-aras tersebut terdiri dari; pengetahuan (literal), kefahaman (comprehension), aplikasi (application), analisis (analysis), sintaksis (synthesis) dan penilaian (evaluation).
 
Aras pemikiran (levels of thought processes) yang diketengahkan oleh Bloom boleh dibahagikan kepada dua kategori penting: aras rendah (low-order or convergent) dan aras tinggi (higher-order or divergent). Pemikiran aras rendah adalah terdiri dari aras ‘pengetahuan’ dan ‘kefahaman’. Sementara pemikiran aras tinggi, menurut Bloom adalah bermula dari aras ‘aplikasi’ membawa kepada ‘penilaian’. Pemikiran aras rendah adalah dikatakan tidak bagitu baik untuk menaja pemikiran kritis dan kreatif. Menurut Bloom, pemikiran kritis dan kreatif hanya boleh diperbaiki melalui latihan berfikir yang melibatkan aras tinggi iaitu aras ‘aplikasi’ sehingga ‘penilaian’. Bloom dalam kajiannya berhubung dengan objektif pengajaran yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati bahawa guru-guru amat gemar menggunakan soalan-soalan dan aktiviti-aktiviti pengajaran beraras rendah. Jika tendensi ini tidak diubah, besar kemungkinan pelajar-pelajar akan menjadi pasif dan tidak kritikal atau kreatif. Perbincangan mendalam tentang aras pemikiran dalam domain kognitif ini akan dibuat apabila kita membincangkan tajuk ‘COGAFF Taxonomy’ nanti.
 
Menurut Beyer dalam model berfikirnya yang dikenali sebagai ‘Functional Thinking’, domain kognitif merangkumi beberapa kebolehan yang terdiri daripada, membuat keputusan (decision-making), menyelesaikan masalah (problem-solving) dan menjana konsep (conceptualizing) sebagai aras yang tertinggi. Ini diikuti oleh pemikiran kritis (critical thinking), dan pemikiran kreatif (creative thinking) pada tahap sedikit rendah dari yang pertama. Tahap seterusnya adalah terdiri dari kebolehan memproses (processing) dan pentakulan (reasoning) dan tahap yang terendah sekali adalah terdiri dari kebolehan mengingat (recalling) dan menyimpan fakta (recording).

DOMAIN AFEKTIF


Satelah anda didedahkan dengan konsep, definisi dan domain kognitif dalam KB, kita akan membincangkan pula satu lagi domain penting yang telahpun disebut di atas, iaitu domain afektif.
Krathwohl dan rakan-rakan, (1964) adalah antara penyelidik yang julungkali menggunakan terminologi ‘afektif’ (affective) dalam memperkenalkan satu lagi domain penting dalam hidup manusia. Ia digunakan sebagai satu lagi objektif pengajaran di samping aras-aras yang terdapat dalam domain kognitif yang telah diperkenalkan oleh Bloom dan rakan-rakan pada tahun 1956. Krathwohl mengkatigorikan domain afektif sebagai terdiri daripada; penerimaan (receiving), tindak-balas (responding), menilai (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set), dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterizing by value complex).
 
Morgan dan Saxton (1991) mentakrifkan soalan-soalan domain afektif sebagai ‘questions of feelings’ (soalan berasaskan perasaan). Pendapat ini adalah serasi dengan apa yang dinyatakan oleh Bolton (1973) ‘learning needs to be felt for it to be effective…’ (pembelajaran melalui perasaan sahaja yang akan lebih efektif). Domain ini amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana pertaliannya yang cukup kuat dengan domain kognitif dalam proses KB. Kepentingan domain afektif ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam tajuk yang menyentuh ‘COGAFF Taxonomy’ nanti.
 
Dengan kelahiran istilah Kecerdasan Emosi (Emotional Intelligence atau EQ) seperti yang diketengahkan oleh Daniel Goleman dan menjadi bagitu popular dewasa ini menjadikan konsep EQ dan ‘domain afektif’ bagitu penting. Domain ‘afektif’ dan ‘emosi’ adalah dua istilah yang berbeza tapi sama dari segi makna dan penekanan. Kedua-dua istilah adalah menegaskan tentang kepentingan elemen perasaan, system nilai system kepercayaan, keyakinan dalam proses membuat keputusan, memberikan pendapat, pembentukkan personality dan pegangan hidup seseorang. Perbincangan tentang tajuk yang berhubung dengan domain afektif dan EQ ini dan kepentingannya kepada kehidupan akan dibuat dengan lebih mendalam dalam tajuk-tajuk yang menyentuh tentang ‘COGAFF Taxonomy’ dan kecerdasan emosi atau ‘Emotional Intelligence’ nanti.

No comments:

Post a Comment